SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerajaan Selangor menerima kunjungan hormat Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) Yang Mulia Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri, hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan dua hala itu bagi membincangkan potensi kerjasama antara Selangor dan UAE dalam pelbagai sektor.
“Saya turut berkongsi tumpuan utama negeri yang merangkumi peneraju dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, pembangunan infrastruktur dan industri semikonduktor.
“Kita percaya pengukuhan hubungan dua hala ini mampu membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pertukaran teknologi yang bermanfaat kedua-dua wilayah ini,” katanya menerusi Facebook.
[caption id="attachment_696633" align="alignnone" width="827"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cenderamata kepada Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) Yang Mulia Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 14 April 2025. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
Dalam pada itu, Amirudin berkata Dr Mubarak turut merakamkan rasa simpati terhadap mangsa yang terjejas insiden letupan papip gas di Putra Heights, baru-baru ini.
“Yang Mulia juga menyampaikan rasa simpati dan keprihatinannya terhadap insiden letupan paip gas dan mengirimkan doa serta ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga terlibat,” katanya.