SHAH ALAM, 13 APRIL: Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan baik pulih kediaman serta menyelesai urusan sewaan rumah mangsa terjejas kebakaran paip gas di Putra Heights.
Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pihaknya akan menyelaras perkara itu selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia MBSJ ditutup.
"Hari ini PPS di Masjid Putra Heights ditutup dan selepas ini negeri akan bantu dan menyelaras sewaan rumah mangsa selain kerja pasca pemulihan," katanya hari ini.
Sebelum itu beliau bersama EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi mewakili Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM500,000 daripada Kelantan yang disampaikan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Sumbangan itu diserahkan ke Tabung Selangor Prihatin bagi membantu mangsa kebakaran saluran paip gas Putra Heights.
Sementara itu Mohd Nassuruddin berkata sumbangan terbabit sebagai tanda ingatan kerajaan negeri itu terhadap mangsa.
"Hubungan Kelantan dan Selangor sejak dulu lagi malah ketika musibah di Kelantan, Selangor membantu.
"Kejadian ini juga turut melibatkan tujuh keluarga berasal dari Kelantan, ada cedera tetapi semua selamat," katanya.
[caption id="attachment_696551" align="aligncenter" width="848"] Tangkap layar rakaman video Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (dua, kiri) menerima cek cura sumbangan untuk mangsa terjejas kebakaran paip gas di Putra Heights daripada Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Turut serta EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi (kiri).[/caption]