ad
AGENDA

Pelancong ke Malaysia meningkat 6.7 juta orang pada Januari, Februari 2025

13 Apr 2025, 10:00 AM
Pelancong ke Malaysia meningkat 6.7 juta orang pada Januari, Februari 2025

SANDAKAN, 13 APRIL: Kedatangan pelancong ke Malaysia meningkat 31.3 peratus kepada 6.7 juta orang bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Beliau berkata Singapura kekal menjadi negara penyumbang utama pelancong ke Malaysia dengan 3.1 juta orang, diikuti China, Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Tahun lepas, Malaysia merekodkan kedatangan 38 juta pelancong, peningkatan ketara 31.1 peratus berbanding 29 juta pada 2023, juga melepasi rekod prapandemik Covid-19 iaitu 35 juta kedatangan pelancong pada 2019 dengan peningkatan 8.3 peratus.

“Pasaran utama yang menyumbang kepada kedatangan pelancong ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata jumlah pendapatan pelancongan mencapai RM106.78 bilion tahun lalu, mencatatkan pertumbuhan yang ketara 43.7 peratus pada 2023 dan melebihi paras 2019 sebanyak 20 peratus.

Sementara itu, Khairul Firdaus berkata Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) melancarkan brosur direktori terbaharu - “A Guide to Sandakan” sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam mempromosikan pelancongan ke Sabah selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Beliau berkata “A Guide to Sandakan” menyenaraikan pelbagai tarikan, menyajikan gabungan mempesonakan landskap alam semula jadi yang menakjubkan, kepelbagaian flora dan fauna, aktiviti pengembaraan, pengalaman kekayaan budaya serta hidangan tempatan.

Ia boleh diperoleh di lapangan terbang dan diedarkan melalui agensi pelancongan bagi memastikan akses yang mudah kepada pelancong.

“Daripada berinteraksi dengan orang utan di habitat semula jadi hingga mendekati Beruang Matahari Borneo, maskot TMM2026, Sandakan menawarkan gabungan pengalaman unik bertemu hidupan liar dan pengembaraan. Ditambah dengan hidangan tempatan dan makanan laut segar, ia adalah pintu masuk unggul untuk meneroka Sabah," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.