ad
AGENDA

Cristina Suzanne ke pentas teater, Keluang Man jadi taruhan

13 Apr 2025, 9:03 AM
Cristina Suzanne ke pentas teater, Keluang Man jadi taruhan
Cristina Suzanne ke pentas teater, Keluang Man jadi taruhan

Oleh MUHAMMAD REY HAZRIELL

SHAH ALAM, 13 APRIL: Pelakon kelahiran Jerman Cristina Suzanne mengakui teruja apabila diberi kepercayaan menjayakan pementasan teater Keluang Man di Shah Alam mulai 24 April.

Memegang watak Suri, bekas pramugari itu berkata peluang yang diberikan kepadanya membuka lembaran baharu dalam dunia seni, sekali gus mengasah bakat lakonan dan kemahiran asas teater.

"Saya rasa terharu dan teruja, (namun) dalam masa sama berhati-hati. (Saya) berasa bersyukur dengan watak yang diberikan kepada saya buat kali pertama ini.

"Teknik latihan lakonan dan kemahiran asas teater, cara mengembangkan watak, membantu saya memahaminya dengan lebih jelas. Perkara ini memberi keyakinan untuk lebih matang," katanya.

[caption id="attachment_694202" align="aligncenter" width="767"] Pelakon utama telefilem raya terbitan Kerajaan Selangor berjudul Hanya Kita, Cristina Suzanne Stockstill[/caption]

Teater arahan Walid Ali turut dibintangi Han Zalini sebagai Keluang Man dan Borhan, Jay Iswazir sebagai Samsir dan Azman Hassan sebagai Cikgu Ahmad sehingga 27 April.

Diangkat daripada siri animasi klasik, teater itu mengisahkan perjalanan Borhan, seorang pesakit di Hospital Bahagia Tumpoi yang menjadi Keluang Man pada waktu malam untuk membanteras jenayah.

Siri asal animasi Keluang Man dihasilkan Allahyarham Kamn Ismail sejak 1997. Studio Sedar Ruang mendapat izin untuk pementasan teater daripada pemegang hak cipta karya tersebut.

Allahyarham turut mengasaskan Kelab Keluang Man bersama tenaga kerja utama produksi animasi tersebut, yang didaftarkan secara sah di JPPM pada 2021 dan masih aktif.

Pementasan teater Keluang Man akan berlangsung di Studio Sedar Ruang pada 24 hingga 26 April jam 8.30 malam, manakala 27 April pula pada jam 3 petang dan 8.30 malam.

Tiket boleh dibeli dengan harga RM48 dan RM58 (tempat duduk bebas) bermula 11 April.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.