ad
AGENDA

MB: Masalah bekalan elektrik, air pasang besar punca banjir

13 Apr 2025, 6:26 AM
MB: Masalah bekalan elektrik, air pasang besar punca banjir
MB: Masalah bekalan elektrik, air pasang besar punca banjir

SHAH ALAM, 13 APRIL: Sistem pam kawalan banjir yang gagal berfungsi akibat kekurangan tenaga dikesan menjadi punca beberapa kawasan dinaiki air Jumaat lalu.

Berikutan itu Dato’ Menteri Besar akan menghubungi Jabatan Tenaga Nasional (TNB) bagi memastikan bekalan elektrik dapat disalur segera sekali gus memastikan pam berfungsi.

“Hampir semua kawasan sudah surut tetapi ada kaitan juga dengan fenomena air pasang. Saya juga nak teliti balik. Beberapa projek (rumah pam) telah siap tetapi tak dapat berjalan sebab bekalan tenaga.

“Saya akan hubungi TNB segara untuk pastikan bekalan tenaga kita cukup supaya pam dapat berfungsi dan beroperasi ketika waktu kritikal,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar hari ini.

[caption id="attachment_696250" align="alignnone" width="798"] Anggota PANTAS MBSA membantu memindahkan penduduk di Jalan Mantap 25/126, Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam ke lokasi selamat susulan banjir pada 11 April 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam[/caption]

Dalam masa sama, Amirudin berkata beberapa projek infrastruktur tempatan termasuk tebaran banjir masih diteruskan dalam usaha menangani kejadian bah.

“Penyelarasan projek perlu dipercepatkan bagi memastikan kesiapsiagaan sistem yang lebih mantap pada masa depan.

"Pelaksanaannya memerlukan kerjasama erat dan tindakan pantas antara agensi terlibat. Kita tidak mahu terus berdepan risiko kerugian dan kesan buruk akibat faktor kelewatan," katanya.

Hujan lebat berterusan pada awal pagi Jumaat lepas menyebabkan lebih 1,000 penduduk sekitar Petaling dan Klang terjejas banjir dengan lebih 200 keluarga dilapor berpindah ke enam pusat pemindahan sementara (PPS).

Antara lokasi dinaiki air ialah Taman Sri Muda, Padang Jawa dan Meru, Klang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.