ad
AGENDA

Hampir 80 peratus ahli mengundi, proses pemilihan KEADILAN Selangor lancar

13 Apr 2025, 5:10 AM
Hampir 80 peratus ahli mengundi, proses pemilihan KEADILAN Selangor lancar
Hampir 80 peratus ahli mengundi, proses pemilihan KEADILAN Selangor lancar

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kira-kira 76 peratus daripada 92,000 ahli akar umbi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menunaikan tanggungjawab mengundi bagi pemilihan peringkat cabang, semalam.

Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peratusan itu membuktikan komitmen ahli terhadap demokrasi dalaman yang diamalkan parti dan keputusan dijangka diketahui mulai tengah hari ini.

“Majoriti ahli mengundi secara dalam talian selaras pendekatan digital diterapkan parti. Mengikut anggaran, sebanyak 76 peratus melaksana tanggungjawab sama ada secara fizikal atau dalam talian.

“Keputusan rasmi dijangka diumumkan mulai pukul 12 tengah hari ini dan berharap semua pihak menghormati keputusan undian,” katanya kepada pemberita pada majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar di sini, hari ini.

[caption id="attachment_695185" align="alignleft" width="754"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika menziarahi mangsa letupan pipeline Putra Heights di Dewan Camelia,Putra Heights, Subang Jaya pada 6 April 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.[/caption]

Beliau berkata sistem pengundian dalam talian yang meliputi 90 peratus proses keseluruhan dilihat berkesan dalam memastikan kelancaran, keselamatan dan ketelusan pemilihan.

“Namun setiap keputusan tetap perlu disemak secara teliti bagi mengelak keraguan serta menjamin integriti parti. Kita perlu teliti supaya tidak timbul salah faham," katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi KEADILAN negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata Selangor mempunyai pengundi tertinggi sebanyak 98,000 ahli, dengan 98.5 peratus memilih undian dalam talian.

Keputusan Pemilihan KEADILAN 2025 bagi peringkat cabang melibatkan Selangor, Melaka dan Perlis serta keputusan pengundian semula Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah akan diumumkan hari ini.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Pemilihan Keadilan 2025, keputusan undian di peringkat cabang, Wanita cabang dan AMK cabang berkenaan sedang dalam proses pengauditan.

Pemilihan bagi pimpinan KEADILAN di peringkat cabang ditetapkan bermula 11 hingga 20 April.

Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) pula akan diadakan pada 24 Mei ini.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.