SUBANG JAYA, 13 APRIL: Aktiviti kesukarelawanan kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tidak kira usia, dengan misi menghulurkan bantuan tatkala yang lain berdepan kesusahan.
Jurutera bebas Farhana Zahran, 38, mengambil pendekatan mendedahkan dan mendidik anak tunggalnya Muhammad Hud Muhamad Nur Fitry, 13, dengan aktiviti tersebut sejak tiga tahun lalu.
Ditemui Media Selangor, ibu tunggal itu berpendapat penting untuk mendidik anak sejak kecil supaya mereka lebih menghargai dan bersedia membantu golongan yang memerlukan.
“Setakat ini anak memang minat kegiatan sukarelawan dan tidak mengeluh setiap kali saya ajak. Dia suka bertanya dan sebagai ibu, saya akan cuba jelaskan sebab dan pentingnya aktiviti ini.
[caption id="attachment_696431" align="aligncenter" width="769"] Sukarelawan MyCare Farhana Zahran, 38, dan anaknya Muhammad Hud Muhamad Nur Fitry, 13 ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 12 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Saya tergerak ajak anak sertai kegiatan sukarelawan selepas melihat beberapa ibu bapa membawa anak mereka sertai juga. Saya cuba bawa Hud, alhamdulillah dia nak sampai sekarang,” katanya.
Farhana dan Muhammad Hud antara 20 sukarelawan yang menyertai Humanitarian Care Malaysia (MyCare) bagi melaksanakan kerja pembersihan di pusat pemindahan sementara Masjid Putra Heights.
Menurutnya, kerja itu termasuk mencuci tandas lelaki dan wanita, selain memasak untuk diagihkan kepada mangsa yang masih berlindung di situ susulan kejadian letupan gas pada 1 April.
“Setakat ini, tiada cabaran yang sukar pun, kita sebagai sukarelawan tidak boleh memilih tugasan apa diberikan kerana kita sendiri rela hati buat kerja ini,” ceritanya.
Jelas Farhana, minatnya terhadap kegiatan sukarelawan timbul ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19, dengan menyertainya secara dalam talian bersama badan bukan kerajaan.
[caption id="attachment_696433" align="aligncenter" width="810"] Sukarelawan My Care melakukan kerja pembersihan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 12 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Selain mendidik jiwa dan rohani, baginya, aktiviti itu menjadikan seseorang lebih bersyukur dan sentiasa merendah diri dalam mendepani pelbagai situasi bersama masyarakat.
"Hidup umpama roda, kita tidak boleh terlalu selesa. Apabila jadi sukarelawan, kita melihat sendiri kesusahan orang lain sekali gus mendidik diri lebih bersabar,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Hud berkata dia semakin seronok menyertai kerja sukarelawan bersama ibunya kerana dapat menyumbang tenaga membantu masyarakat yang dalam kesusahan.
“Mulanya pelik juga tapi lama kelamaan seronok, ibu banyak memberi nasihat seperti manfaat bantu orang dan paling penting ibu kata jangan harapkan balasan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya, Shah Alam.