ad
AGENDA

PM: Tiada kompromi pegawai kerajaan amal rasuah, salah guna kuasa

12 Apr 2025, 8:48 AM
PM: Tiada kompromi pegawai kerajaan amal rasuah, salah guna kuasa

BACHOK, 12 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah, sama ada dalam kalangan pegawai kerajaan, mahu pun ahli politik.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memerangi perbuatan menyalah guna peruntukan kerajaan demi kepentingan peribadi, termasuk manipulasi tender serta penyelewengan dana pembangunan.

"Saya isytihar perang dalam perkara ini. Saya tidak izinkan mana-mana pegawai atau orang politik guna peruntukan kerajaan untuk salah guna tender dan ‘sakau’ untuk kekayaan diri mereka.

"...kerana kalau sistem ini tidak betul, dapat hasil negara banyak sekali pun, ia akan hilang jika masing-masing sibuk nak kayakan diri sendiri. Kalau mahu berniaga, silakan, tetapi jangan guna kedudukan dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata jawatan dalam kerajaan tidak seharusnya dijadikan jalan pintas untuk mengumpul kekayaan peribadi.

"Nak berniaga, berniaga betul-betul, tapi kalau guna kedudukan dalam kerajaan, saya tak izinkan. Ini bukan jawatan untuk jadi kaya, bukan Perdana Menteri mesti kaya,” katanya.

Mengulas dakwaan pilih kasih dalam pendakwaan, Anwar berkata proses keadilan dijalankan mengikut sistem perundangan negara.

"Walaupun ada yang kata pilih kasih, itu bukan kerja saya. Yang menyiasat ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mendakwa ialah Peguam Negara, dan yang putuskan (hukuman) itu adalah mahkamah,” katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.