Oleh Dewi Abdul Rahman
SUBANG JAYA, 12 MAC: Kerajaan Negeri memberi tumpuan pada kerja baik pulih kediaman dan menyelesai urusan sewaan rumah mangsa terjejas kebakaran paip gas di Putra Heights.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata setakat ini 307 rumah dibenarkan untuk diduduki semula dan menjangkakan angkanya bertambah setelah selesai kerja pembersihan yang bermula hari ini.
"Minggu depan kita akan menumpukan kepada dua perkara iaitu sewaan dan baik pulih rumah.
"Kita sudah hampir ke peringkat kemuncak atau hampir menyelesaikan sepenuhnya apabila urusan sewa rumah selesai, termasuk pembahagian duit sewa," katanya ketika merasmikan Ops Mega Pembersihan di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin menjelaskan Kampung Kuala Sungai Baru menjadi kawasan yang paling mencabar untuk dibersihkan disebabkan pelannya yang tidak tersusun.
"Kampung Kuala Sungai Baru dibina bukan dengan kaedah perumahan tersusun dan mengikut piawaian, berbeza dengan kawasan perumahan lain seperti Putra Heights dan Putra Harmoni.
"Kawasan itu dibangunkan sendiri selama bertahun oleh penduduk, jadi kesannya lebih teruk dan memerlukan lebih banyak usaha serta masa untuk melaksanakannya," tambah beliau.
Seramai 4,600 sukarelawan melibatkan kakitangan Kerajaan Negeri dan pelbagai agensi turun padang menyertai 'Ops Mega Pembersihan' di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru hari ini.
Operasi pembersihan disertai 12 pihak berkuasa tempatan, polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, KDEBWM dan Selangor Volunteer (Serve) seliaan Majlis Sukan Negeri (MSN).