ad
AGENDA

PRK Ayer Kuning: Gabungan jentera BN-HARAPAN mampu beri impak besar

12 Apr 2025, 5:01 AM
PRK Ayer Kuning: Gabungan jentera BN-HARAPAN mampu beri impak besar

TAPAH, 12 APRIL: Gabungan jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (HARAPAN) diyakini mampu memberikan impak besar, dalam memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir berkata gerak kerja BN dan HARAPAN disusun rapi bagi mendekati pengundi dalam tempoh 14 hari berkempen.

“Kombinasi BN dan HARAPAN adalah sangat baik, kita yakin kedua-dua jentera parti akan membuahkan hasil yang sangat hebat,” katanya ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Dr Mohamad Yusri berkata beliau bertekad untuk meneruskan perancangan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin, khususnya dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan pelajar di kawasan itu.

“Insya-Allah, kita juga akan teruskan pelaksanaan keperluan rakyat yang telah dikenal pasti,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dr Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

Sementara itu, Abd Muhaimin berkata kempennya akan berasaskan kepada keikhlasan serta kasih sayang.

“Kita akan guna kempen yang baik, kempen yang datang daripada hati, penuh kasih sayang kerana kita mahu hidupkan demokrasi,” katanya.

Bawani pula berkata beliau akan memberikan tumpuan kepada hak dan kepentingan rakyat seperti peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda dan B40 di DUN tersebut.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, sementara pengundian awal 22 April.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.