ad
ADN

Majlis Jamuan Aidilfitri Parlimen Shah Alam, DUN Batu Tiga esok dibatalkan

12 Apr 2025, 2:17 AM
Majlis Jamuan Aidilfitri Parlimen Shah Alam, DUN Batu Tiga esok dibatalkan

SHAH ALAM, 12 APRIL: Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga yang dijadual esok dibatalkan, kata Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof.

Beliau berkata ia dilakukan susulan banjir yang melanda sebahagian kawasan parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga membabitkan Kampung Padang Jawa, Taman Rashna, Seksyen 23, Kampung Kebun Bunga dan Kampung Kuantan.

"Sehingga ini tiga Pusat Pemindahan Sementara dibuka iaitu PPS SK Seksyen 16, PPS SMK Seksyen 16 dan SRA Padang Jawa.

"Ia juga sebagai persiapan berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu untuk tempoh beberapa hari mendatang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al Rashid.

Azli berkata peruntukan untuk persiapan dan perbelanjaan jamuan akan disalurkan dalam bentuk bantuan makanan, pembersihan dan keperluan bagi meringankan beban mangsa banjir.

"Kami mohon berbanyak kemaafan di atas sebarang kesulitan. Semoga keputusan dan usaha ini dapat menzahirkan tanda peduli terhadap mangsa yang terkesan dengan banjir ini," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.