ad
AGENDA

PRK DUN Ayer Kuning buka tirai hari ini, penamaan calon bermula 9 pagi

12 Apr 2025, 12:28 AM
PRK DUN Ayer Kuning buka tirai hari ini, penamaan calon bermula 9 pagi
PRK DUN Ayer Kuning buka tirai hari ini, penamaan calon bermula 9 pagi

TAPAH, 12 APRIL: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bermula hari ini dengan proses penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah di sini.

Setiap bakal calon diberikan tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori.

Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan DUN itu yang merupakan antara dua kerusi DUN di bawah Parlimen Tapah.

Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca sepanjang proses penamaan dijangka hujan.

Sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata tujuh borang pencalonan PRK Ayer Kuning dijual semalam.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sudah mengumumkan calon masing-masing bagi merebut kerusi DUN itu.

BN meletakkan Setiausaha Umno Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan.

Sementara PN pula mengumumkan Pengerusi PN Tapah Abdul Muhaimin Malek, 44, dan PSM mencalonkan Timbalan Setiausaha Agung parti itu Bawani KS, 40.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata 778 pegawai dan anggota ditugaskan pada hari penamaan.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lalu.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.

- BERNAMA

[caption id="attachment_696290" align="aligncenter" width="1233"] Kawalan keselamatan pihak berkuasa di sekitar Dewan Merdeka, Tapah untuk proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning setakat 7.30 pagi, 12 April 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.