ad
AGENDA

UNRWA: 400,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal sejak bulan lalu

12 Apr 2025, 12:10 AM
UNRWA: 400,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal sejak bulan lalu

NEW YORK, 12 APRIL: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menganggarkan kira-kira 400,000 penduduk di Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal susulan kegagalan perjanjian gencatan senjata, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

“Mereka kini turut berdepan sekatan paling lama terhadap bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial sejak peperangan bermula,” kata UNRWA dalam satu hantaran di platform X.

UNRWA turut menggesa supaya perjanjian gencatan senjata segera diperbaharui dan laluan bantuan kemanusiaan serta bekalan komersial ke Gaza dibuka tanpa sebarang halangan.

Sejak 2 Mac lalu, rejim Israel menyekat kemasukan bekalan penting termasuk makanan dan air ke Semenanjung Gaza susulan penutupan laluan lintasan sempadan.

Tindakan itu mengakibatkan krisis kemanusiaan yang semakin kritikal, sekali gus memburukkan lagi keadaan kebuluran dalam kalangan penduduk Gaza.

- BERNAMA-WAFA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.