SHAH ALAM, 11 APRIL: Isu kebersihan dan sisa kebakaran di lokasi letupan paip gas Putra Heights dijangka selesai 90 peratus menerusi gotong-royong mega yang dijadual berlangsung pada hujung minggu ini.
Selain itu, pelanggan yang terjejas tragedi berkenaan turut ditawarkan rebat 100 peratus bagi bil Mac 2025 oleh Air Selangor sebagai langkah meringankan beban.
Penduduk terjejas juga menerima bantuan kotak makanan kering sementara pelajar menerima wang saku daripada Majlis Agama Islam Selangor.
Selain itu, urusan 12 pelajar yang masih menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights ke sekolah juga dipeduli apabila Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) meneruskan perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT).
Berikut rangkuman perkembangan pada Jumaat:
1. Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bantu isu cuti pelepasan cuti
Seramai 74 pekerja yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights menerima bantuan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhubung isu cuti mereka.
Pegawai Tenaga Kerja Kanan JTK Selangor, Mohd Hafizdzul Kafli berkata pihaknya akan berbincang dengan majikan mereka bagi mendapatkan penyelesaian.
2. Mangsa banyak luah trauma, sedih
Perasaan trauma, sedih dan tertekan antara luahan yang paling banyak diterima Pusat Kaunseling Selangor daripada mangsa kejadian letupan paip gas di Putra Heights.
Kaunselornya, Mohd Yaakup Mad Napiah berkata ramai yang datang bertanya tentang peranan pusat itu di samping meluahkan perasaan yang terbuku di hati mereka.
3. Air Selangor tawar rebat
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menawarkan rebat 100 peratus bagi bil Mac 2025 kepada pelanggannya yang terjejas susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Menurut agensi itu, rebat sebulan secara sekali bayar itu bagi membantu meringankan mereka yang terkesan susulan insiden berkenaan.
4. Yide terus bantu hantar anak mangsa ke sekolah
[caption id="attachment_695364" align="aligncenter" width="761"] Pelajar mangsa kebakaran saluran paip gas menaiki pengangkutan percuma Rapid KL On-Demand (ROD) ke sekolah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 7 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) diteruskan bagi membawa pelajar yang masih menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights ke sekolah.
Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata hanya 12 pelajar menggunakan perkhidmatan itu dari enam sekolah.
5. Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Tengah Puchong Kembali huni PPS
Nasib penduduk Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah, Puchong, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana belum pun selesai urusan akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas, kini berdepan pula masalah banjir yang melanda pagi tadi.
Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan air sungai melimpah dan memaksa penduduk di kedua-dua kampung berkenaan berpindah semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
6. Mais agih wang saku untuk pelajar, kotak makanan buat keluarga terjejas
Mais mengagihkan sumbangan RM35,076 untuk bantuan kotak makanan kering kepada 158 ketua keluarga manakala RM22,800 lagi untuk agihan wang kepada 79 pelajar dengan setiap seorang menerima RM300.
[caption id="attachment_695720" align="aligncenter" width="763"] Sukarelawan Team Selangor melakukan pembersihan di kawasan perumahan yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 5 April 2025. Foto Team Selangor[/caption]
7. MB yakin sisa kebakaran, sampah di lokasi kebakaran selesai dalam tempoh dua hari
Operasi Mega Pembersihan yang berlangsung hujung minggu ini dijangka menyelesaikan hampir keseluruhan isu kebersihan di lokasi kebakaran paip gas Putra Heights.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dianggarkan seramai 1,402 sukarelawan terlibat dalam operasi yang akan dikelola Majlis Bandaraya Subang Jaya.
8. Setiap pelajar terjejas terima RM500, baucar buku RM200 buat mahasiswa
Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang RM132,500 kepada 265 pelajar terkesan.
Menerusi bantuan itu, setiap pelajar menerima RM500 seorang sementara baucar buku RM200 buat mahasiswa.
9. Mangsa rasa tersisih diseru hubungi segera PTD
Mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights yang berasa tersisih atau tidak menerima sebarang bantuan diseru segera menghubungi Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sudah menyenarai semua nama penerima sumbangan yang layak termasuk melakukan semak silang dengan pihak berkuasa.
10. Siasatan pasukan teknikal di lokasi letupan paip gas ambil masa atas faktor keselamatan
SUBANG JAYA, 11 APRIL: Siasatan di tapak kebakaran paip gas di Putra Heights dijangka mengambil masa untuk diselesaikan kerana keadaan tanah yang belum stabil sekali gus menjejaskan kemasukan pasukan teknikal.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jangka masa proses siasatan teknikal termasuk pembentangan laporan penuh bergantung kepada faktor cuaca dan keselamatan kawasan insiden tersebut.