SUBANG JAYA, 11 APRIL: Siasatan di tapak kebakaran paip gas di Putra Heights dijangka mengambil masa untuk diselesaikan kerana keadaan tanah yang belum stabil sekali gus menjejaskan kemasukan pasukan teknikal.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jangka masa proses siasatan teknikal termasuk pembentangan laporan penuh bergantung kepada faktor cuaca dan keselamatan kawasan insiden tersebut.
"Saya lihat ada sedikit kekangan akibat cuaca. Sebab itu semalam ketua polis negeri maklumkan jentera akan digerak selama 24 jam untuk bantu stabilkan tanah.
“Kita perlu bagi masa secukupnya. Setakat ini siasatan teknikal belum berjalan sepenuhnya, hanya berjalan atas kertas kerana tanah di lokasi belum stabil. Selepas stabil baru unit teknikal akan masuk,” katanya pada sidang media.
Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan wang tunai kepada 265 pelajar terjejas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pasukan penyiasat menambah dua jentera pengorek bagi mempercepat kerja menstabilkan tanah yang lembut di lokasi kejadian, selain turut menjalankan operasi itu tanpa henti selama 24 jam.
Sementara itu, Amirudin berkata penduduk terjejas akan diberikan taklimat awal berkenaan proses seterusnya bermula dengan prosedur bantuan wang sewa oleh Kerajaan Negeri pada Isnin depan.
Jelasnya, taklimat tersebut turut merangkumi aspek garis panduan pakar bagi pembinaan semula serta pembaikan rumah mangsa yang terkesan.
“Kita akan laksanakan taklimat dan penyerahan dokumen yang diperlukan bagi tanggungan sewa Kerajaan Negeri. Kita juga sudah kenal pasti penerima dan akan dimuktamad hari ini,” katanya.