SHAH ALAM, 11 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) segera menggerakkan petugas pembersihan untuk membantu mangsa banjir di 16 lokasi sekitar Shah Alam.
Pengarah Urusan Dato' Ramli Tahir berkata kira-kira 30 petugas membersihkan sampah banjir terutama sisa pukal antaranya di Seksyen 7, Seksyen 19, Seksyen 23 hingga 28, Seksyen 33 hingga 36 dan Padang Jawa.
"Sebanyak 70 tong tong Roll On Roll Off’ (Roro) turut disediakan di semua lokasi untuk mengangkut sisa pukal dan perabot yang rosak akibat banjir.
"KDEBWM sentiasa bersiap-siaga dan komited untuk membantu penduduk yang terjejas dalam kejadian banjir dan menyeru juga semua pihak bekerjasama menjaga kebersihan," katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, Ramli turut menasihatkan mangsa banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan bekerjasama dalam usaha pengurusan sisa semasa dan selepas banjir.
"Kita berharap mangsa banjir elakkan membuang sampah di longkang, parit atau sungai bagi mengelakkan saliran tersumbat serta simpan barangan penting dan elektrik di tempat yang tinggi.
"Manakala, elakkan juga membuang sisa banjir secara berselerak sebaliknya kumpulkan di satu tempat agar ia memudahkan krew melaksanakan kerja pembersihan," katanya.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dibuat menerusi aplikasi i-Clean Selangor yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store memudahkan orang ramai melaporkan aduan kutipan sisa pepejal selain memohon khidmat pembuangan sampah pukal.