ad
AGENDA

Banjir: Lelaki warga asing, anjing maut dipercayai terkena renjatan elektrik

11 Apr 2025, 10:03 AM
Banjir: Lelaki warga asing, anjing maut dipercayai terkena renjatan elektrik

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seorang lelaki warga Sri Lanka maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian banjir kilat di Taman Alam Indah, Seksyen 25 di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam berkata polis menerima maklumat kejadian melalui orang awam kira-kira jam 10.51 pagi dan terpaksa menunggu bekalan elektrik diputuskan terlebih dulu sebelum memeriksa mayat.

Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati premis merupakan sebuah stor menyimpan barang pembinaan yang turut menjadi tempat tinggal mangsa yang berusia 27 tahun.

“Mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan memakai baju T berwarna merah berlengan pendek dan memakai seluar pendek warna coklat.

“Turut dijumpai seekor anjing disisi mangsa yang mati dipercayai terkena renjatan elektrik. Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh yang boleh menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Iqbal mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang jam 4 petang tadi untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan di bawah kematian mengejut (SDR).

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.