SHAH ALAM, 11 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang bagi memastikan tapak pembangunan masjid di Dengkil dikosongkan dalam sebulan.
Menyifatkan pencerobohan sebagai serius, pengarah Jais memberitahu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tanah kawalan jabatan itu perlu bersih daripada sebarang pencerobohan.
Dato' Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan semua tanah yang diwartakan bawah Jais akan diperiksa dengan kerjasama PDT dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan tiada lagi pencerobohan.
"Semua tanah warta Jais akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat pencerobohan tanah Jais diminta menghubungi pihak berkuasa negeri, pejabat agama Islam daerah atau penguat kuasa Jais 1-800-88-2424 untuk tindakan lanjut.
Mohd Shahzihan juga menghuraikan latar belakang tanah berkenaan berikutan isu pencerobohan itu tular di media sosial sejak 9 April:
- pihak yang menduduki tanah tersebut sebelum ini dipindah dari Ladang Galloway apabila kerajaan mengambil tanah untuk projek pembangunan Cyberjaya
- PDT Sepang memberi penempatan baharu kepada kelompok itu berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan mendapat status menduduki sementara (TOL)
- pada 2007, Kerajaan Negeri mengarahkan mereka supaya mengosongkan tanah berkenaan untuk dijadikan rizab tapak masjid tetapi mereka membuat tuntutan pampasan
- pada 2011, tanah berkeluasan 10 ekar itu diwarta untuk pembinaan masjid dan sebahagiannya adalah tanah rizab Sungai Langat yang diduduki kelompok tersebut
- pada 2024, Jais mengesan pembinaan premis dan aktiviti di atas tanah yang telah diwarta itu. Masjid baharu itu dijadual dibina pada tahun depan
- Jais telah mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 kepada PDT Sepang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mengosongkan tanah tersebut seperti termaktub bawah Kanun Tanah Negara 1965