SHAH ALAM, 11 APRIL: Penduduk yang terjejas banjir dinasihatkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika diarahkan, bagi mengelak kejadian tidak diingini.
EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata jika hujan lebat melanda lagi malam ini, ia boleh meningkatkan risiko banjir di beberapa daerah terutama Petaling dan Klang.
“Jadi kita minta penduduk terjejas banjir dapat patuhi arahan daripada pihak berkuasa. Kalau suruh pindah, berpindahlah ke PPS sebab kita nak elak berlakunya insiden buruk atau kemalangan jiwa.
“Kita jangkakan jika malam ini hujan lebat, langkah susulan perlu diambil terutama untuk membantu pemindahan mangsa terjejas. Mungkin ada yang tidak terjejas hari ini, tapi kita khuatir akan ramai lagi terjejas sekiranya hujan lagi,” katanya.
Mohd Najwan menambah insiden banjir yang melanda beberapa kawasan sejak awal pagi tadi, mungkin akibat hujan lebat yang bertembung dengan fenomena air pasang besar.
“Kita memang waspada kenaikan paras air laut kerana di pertengahan bulan. Tetapi apabila berlaku fenomena air pasang dan hujan lebat itu yang merisikokan banjir berlaku,” katanya.
Beliau berkata enam PPS dibuka setakat ini bagi menempatkan ratusan mangsa tbanjir sekitar daerah Klang dan Petaling.
“Di peringkat Kerajaan Negeri kita akan bantu daripada segi penyelarasan koordinasi untuk kerja-kerja pemindahan dan keselamatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata bagi daerah Klang, PPS terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Dewan Azalea Taman Seri Muda, Shah Alam dan Dewan Bunga Bakawali Alam Impian.
Selain itu, daerah Petaling melibatkan Dewan Kenanga Seksyen 28 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 Shah Alam dan Dewan Camelia, Putra Heights.
Media melaporkan beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi sekitar Puchong, Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi laman sesawang memaklumkan, setakat 3 petang, paras air stesen Pekan Meru dan Taman Desa Kemuning, Klang dilapor melepasi tahap bahaya.
Bacaan paras air di stesen Pekan Meru mencatat 4.46 meter(m) berbanding normal 2.8m manakala stesen Taman Desa Kemuning, mencatat bacaan 3.69m berbanding normal 1.5m pada masa sama.
Selain itu, stesen Bukit Changgang di Kuala Langat mencatat bacaan 4.8m berbanding paras normal 1.9m setakat 3 petang ini.