SHAH ALAM, 11 APRIL: Bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Shah Alam ditutup sementara susulan situasi hujan dan banjir ketika ini, maklum Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut TNB, tindakan menutup pencawang elektrik Ikeda dan Nippon Steel diambil demi menjamin keselamatan pengguna setempat.
"Elak penggunaan alat elektrik dan pastikan suis utama ditutup bagi mengelakkan renjatan. Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai," tulisnya di Facebook.
Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Shah Alam termasuk jalan utama di hadapan gudang HL, Seksyen 23, Sri Muda dilanda banjir kilat.
Selain Shah Alam, beberapa kawasan di Klang, Puchong dan Hulu Langat turut dilanda banjir kilat.
Setakat 12 tengah hari tadi, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Shah Alam dan satu di Klang.