SHAH ALAM, 11 APRIL: Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) diteruskan bagi membawa pelajar yang masih menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights ke sekolah.
Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata hanya 12 pelajar menggunakan perkhidmatan itu membabitkan tujuh murid sekolah rendah dan lima pelajar sekolah menengah dari enam sekolah.
"Khidmat pengangkutan meliputi pergerakan menghantar dan mengambil pelajar dalam lingkungan 7km dari PPS ke sekolah masing-masing.
"Yide dan rakan kolaborasi termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Prasarana Sdn Bhd komited meneruskan usaha ini bagi memastikan sesi persekolahan pelajar tidak terganggu," kata Nur Mohd Razali Abdullah.
Beliau turut memaklumkan pihaknya tekad memastikan kebajikan pelajar terjejas terurus dan segala bentuk bantuan terus disalurkan secara berperingkat demi memastikan sesi persekolahan dalam keadaan selesa.
[caption id="attachment_695364" align="aligncenter" width="812"] Pelajar mangsa kebakaran saluran paip gas menaiki pengangkutan percuma Rapid KL On-Demand (ROD) ke sekolah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 7 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sebelum ini, seramai 76 pelajar yang menghuni PPS Masjid Putra Heights dan PPS Dewan Camelia (ditutup semalam) menggunakan perkhidmatan tersebut untuk ke 19 sekolah terlibat.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menitahkan Majlis Agama Islam Selangor dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan pelajar terkesan akibat tragedi tersebut terpelihara, khususnya dalam aspek pendidikan dan kemudahan asas.
Antara ketetapan yang diperkenankan termasuk penyediaan bantuan kelengkapan persekolahan serta pengangkutan bagi pelajar yang kini ditempatkan sementara di dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, Putra Heights.
[caption id="attachment_696121" align="aligncenter" width="812"] Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Tan Sri Mazlan Mansor menyarung baju sekolah kepada Ammar Mikhail dalam majlis penyerahan baju sekolah kepada mangsa kebakaran saluran gas di Masjid Putra Height, Subang Jaya pada 4 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi 1 April lalu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70×80 kaki.
Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.
[caption id="attachment_694943" align="aligncenter" width="812"] Permandangan dari atas kawah yang terbentuk akibat kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pada 1 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]