ad
AGENSI

Paras air bahaya di lima lokasi, banjir kilat jejas beberapa kawasan

11 Apr 2025, 12:46 AM
Paras air bahaya di lima lokasi, banjir kilat jejas beberapa kawasan
Paras air bahaya di lima lokasi, banjir kilat jejas beberapa kawasan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kira-kira 10 buah rumah di Taman Sri Jaya, Jalan Meru, Klang dilanda banjir kilat awal pagi tadi berikutan hujan lebat yang menyebabkan air naik sehingga paras dua kaki (kira-kira 0.61 meter).

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar tiba di lokasi pada jam 4.27 pagi.

“Laporan oleh Komander Operasi didapati benar berlakunya banjir kilat berkedalaman 2 kaki dengan anggaran 10 rumah terlibat. Lapan mangsa berjaya dikeluarkan dan kerja-kerja memindahkan mangsa masih dilakukan.

"Operasi turut dibantu oleh anggota dari BBP Sri Andalas dengan kekuatan keseluruhan seramai 12 anggota dan dua jentera, iaitu sebuah FRT dan LFRT," katanya.

[caption id="attachment_696090" align="alignleft" width="500"] Keadaan banjir kilat di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang pada 11 April 2025. Foto ihsan Bomba[/caption]

Selain itu, banjir kilat turut dilapor berlaku di Kampung Sungai Merab Luar Kajang awal pagi tadi dengan anggaran 12 rumah terlibat dan 15 mangsa berjaya dibawa keluar dengan setakat ini paras air menunjukkan trend menurun.

Sementara itu, paras air di empat stesen iaitu Taman Sri Muda, Pekan Meru dan Tugu Keris dan Taman Desa Kemuning, Klang serta satu di daerah Sepang dilapor berada pada tahap bahaya setakat jam 7.45 pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menerusi laman sesawang memaklumkan bacaan paras air di stesen Taman Sri Muda mencatat 5.14 meter(m) berbanding normal 2.8m setakat jam 8 pagi.

Manakala paras air stesen Pekan Meru, mencatat bacaan 4.45 berbanding normal 2.8m pada masa sama, Tugu Keris 4.68m dan Taman Desa Kemuning (4.31).

Satu stesen di daerah Sepang iaitu Jenderam Hilir turut mencatat paras bahaya iaitu 11.94m berbanding normal 7.4m setakat 8 pagi.

Selain itu paras air stesen Bandar Klang, Batu 12 Hulu Langat, Dengkil, Bukit Changgang berda pada tahap amaran.

Manakala, stesen Puchong Drop, Pekan Bangi Lama, Kampung Jawa Klang, Rimba KDR, Bukit Rimau dan Kampung Johan Setia berada pada paras waspada.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.