ad
AGENDA

Anggota polis tertembak diri sendiri di IPK meninggal dunia

10 Apr 2025, 2:00 PM
Anggota polis tertembak diri sendiri di IPK meninggal dunia

GEORGE TOWN, 10 APRIL: Anggota polis yang parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri di bahagian kepala dalam kejadian di bilik pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini Selasa lalu, meninggal dunia petang ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata koperal berusia 58 tahun itu disahkan meninggal dunia pada 5.12 petang ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Umum (GICU) Hospital Pulau Pinang.

"Mendiang dari Kem Komandan, Jabatan Pengurusan IPK Pulau Pinang, telah disahkan meninggal dunia. Sebelum ini, anggota berkenaan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat insiden tertembak diri sendiri pada Selasa," katanya menerusi hantaran di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang hari ini.

Beliau, isteri serta seluruh warga kerja PDRM Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian serta ketentuan ini, selain dipermudahkan segala urusan.

Anggota polis yang bertugas di Cawangan Kem Komandan itu ditemukan parah di kepala dalam bilik pengawal IPK Pulau Pinang pada 6.12 petang Selasa lalu, dipercayai akibat tertembak diri sendiri.

Siasatan di tempat kejadian mendapati satu das tembakan dilepaskan daripada senjata yang digunakan anggota berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.