SHAH ALAM, 10 APRIL: Perbincangan sedang dilakukan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan mangsa kebakaran saluran gas Putra Heights menerima kediaman sementara lebih dekat.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata kerjasama itu turut melibatkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) untuk mencari penyelesaian strategik.
“Setakat ini skim Smart Sewa Selangor bagi menempatkan mangsa Putra Heights di Kota Warisan, Sepang menerima 10 permohonan.
“Kita faham ada yang kata agak jauh kerana masalah anak-anak bersekolah tetapi ia mungkin lebih sesuai kepada mereka yang belum berkahwin atau anak belum sekolah, dan penyewa di Kampung Kuala Sungai Baru,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_662011" align="alignleft" width="500"] Wawancara EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambah Borhan, Kerajaan Negeri juga sedang berusaha berunding dengan pemaju perumahan di kawasan Putra Heights bagi membantu menyediakan rumah sementara kepada mangsa.
Bagi penyediaan kediaman unit Airbnb, katanya, 16 keluarga menerima tawaran berkenaan daripada 78 kediaman sementara yang ditawarkan agensi berkenaan.
“Setakat ini unit Airbnb baru 16 keluarga masuk. Unit Airbnb yang ditawarkan adalah di sekitar kawasan Puchong dan kita ada baki lagi untuk mereka yang ingin duduk,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Airbnb bersetuju menaja 78 kediaman sementara bagi tempoh dua bulan kepada mangsa yang terjejas dalam tragedi letupan saluran paip gas itu.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari Kerajaan Negeri menawarkan 100 unit rumah Smart Sewa di Sepang yang akan disewakan secara percuma dan dibiayai Kerajaan Negeri.