SHAH ALAM, 10 APRIL: Bekas ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor yang turut terjejas dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights menyewa apartmen bagi memberi laluan kepada mangsa lain berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS).
Mohd Sabirin Mohd Sarbini bersyukur kerana beliau sekeluarga terselamat dan kediaman mereka hanya mengalami kerosakan kurang 20 peratus membabitkan bahagian belakang rumah.
"Bahang api sangat panas. Pokok-pokok tanaman dan penyaman udara di belakang rumah terbakar, karpet yang disidai di luar rumah juga terbakar termasuk sebuah kereta saya turut terjejas.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kerosakan dialami tidak seteruk jiran. Kediaman mereka musnah sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Mohd Sabirin juga menzahirkan rasa syukur apabila pihak berkuasa membenarkan mereka pulang ke kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru semalam.
[caption id="attachment_696025" align="aligncenter" width="811"] Tiga unit penyaman udara di belakang kediaman bekas ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini mencair susulan tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025. Foto Mohd Sabirin Mohd Sarbini[/caption]
Menceritakan detik cemas pada hari kejadian, Mohd Sabirin berkata beliau ketika itu sedang bersiap-siap bertolak ke Port Dickson untuk beraya sebelum dikejutkan dengan letupan kuat yang disusuli api besar yang menjulang tinggi.
“Ketika itu, keadaan seperti berlakunya hujan tanah dan bahangnya sangat panas. Khuatir keselamatan semua, saya terus bawa keluarga termasuk ibu mentua atas kerusi roda keluar dari kawasan rumah untuk selamatkan diri," katanya.
[caption id="attachment_696026" align="aligncenter" width="785"] Keadaan tanaman di belakang kediaman bekas ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini di Kampung Kuala Seungai Baru yang hangus terbakar susulan tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025. Foto Mohd Sabirin Mohd Sarbini[/caption]
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.
Berikutan kejadian, 87 kediaman disahkan mengalami kerosakan sepenuhnya dan tidak boleh didiami manakala 148 boleh didiami namun perlu dibaik pulih.
[caption id="attachment_695008" align="aligncenter" width="769"] Keadaan di kawasan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights ketika tinjauan pada 2 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]