ad
AGENSI

KDEBWM: Lebih 150 tan sampah dikeluarkan dari Putra Heights takat ini

9 Apr 2025, 9:05 AM
KDEBWM: Lebih 150 tan sampah dikeluarkan dari Putra Heights takat ini

HULU LANGAT, 9 APR: Lebih 150 tan sampah dikeluarkan dari kawasan perumahan terjejas susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights setakat ini.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata sampah domestik dan pukal dikutip dari Taman Putra Harmoni, Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah sejak hari ketiga kejadian dianggarkan 15 tan hingga 20 tan sehari.

Jelas Dato’ Ramli Mohd Tahir, pihaknya turut menyediakan tong Roll-On Roll-Off (roro) bagi memudahkan mangsa menjalankan kerja pembersihan dan membuang sampah terbakar.

“Di awal kejadian memang terhad untuk masuk sebab tidak dibenarkan pihak berkuasa kerana penduduk belum boleh balik ke rumah masing-masing, pintu terbuka dan sebagainya jadi kita tidak dibenarkan masuk.

“Sekarang penduduk sudah dibenarkan masuk ke rumah, mungkin hampir 50 peratus. Di Taman Putra Harmoni ada 12 lorong kita letakkan tong roro.

“Jadi jika ada barang terbakar atau rosak, penduduk boleh masukkan dalam tong yang kita letakkan di tengah jalan setiap lorong,” katanya selepas meninjau kerja pembersihan longkang tersumbat di Bandar Sungai Long, di sini hari ini.

Menurutnya, jalan raya di kawasan terjejas juga dibersihkan setiap hari menggunakan jentera penyembur air berkuasa tinggi dan ‘road sweeper’ bagi membersihkan debu tanah dan kotoran lain.

Selain KDEBWM, sukarelawan SERVE dan Team Selangor turut digerakkan ke Putra Heights sejak Jumaat lalu bagi membantu proses pembersihan.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.