ad
AGENDA

Warga emas pandu kereta di lorong motor jambatan kedua Pulau Pinang

9 Apr 2025, 8:34 AM
Warga emas pandu kereta di lorong motor jambatan kedua Pulau Pinang

BATU KAWAN, 9 APRIL: Polis mengeluarkan saman terhadap seorang warga emas yang memandu kereta di lorong motosikal berhampiran plaza tol Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Jay January Siowou berkata lelaki itu mengaku tersilap masuk ke lorong motosikal dan hanya menyedarinya selepas kenderaan lain membunyikan hon.

"Kejadian berlaku pada 3.30 petang di Plaza Tol Bandar Cassia semasa lelaki itu dalam perjalanan dari Butterworth ke Batu Kawan.

"Pemandu berkenaan telah disaman di bawah Peraturan Kaedah 8(3), Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 kerana tidak mematuhi papan tanda di laluan trafik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian itu tular di media sosial selepas video berdurasi 36 saat memaparkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna perak dipandu di lorong motosikal dimuat naik seorang pengguna TikTok.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.