ad
AGENDA

Kerajaan persekutuan salur RM14.7 juta kepada Selangor, peruntukan bantuan bencana

9 Apr 2025, 5:47 AM
Kerajaan persekutuan salur RM14.7 juta kepada Selangor, peruntukan bantuan bencana

PUTRAJAYA, 9 APRIL: Kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyalurkan peruntukan bantuan bencana kepada Kerajaan Selangor berjumlah RM14.7 juta bagi tahun ini.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus berkata peruntukan itu bagi pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana dan BWI Kematian sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang kehilangan nyawa.

Beliau berkata bantuan berkenaan turut disediakan bagi membantu KIR mangsa bencana yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya minggu lalu.

“Pejabat Daerah dan Tanah Petaling selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan mengagihkan bantuan berdasarkan senarai nama KIR mangsa bencana yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Khairul Shahril berkata setiap rumah yang terkesan akibat bencana ini turut menerima bantuan tunai berjumlah RM10,000 yang disalurkan kepada pemilik rumah yang musnah sepenuhnya, iaitu RM5,000 daripada kerajaan persekutuan dan RM5,000 daripada Petronas.

“Pemilik yang rumahnya separa musnah menerima sumbangan RM5,000, iaitu RM2,500 daripada kerajaan persekutuan dan RM2,500 daripada Petronas,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Selangor turut bersetuju memberikan bantuan sewaan RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan untuk menyewa rumah sementara kediaman mereka diperbaiki ataupun dibina semula.

“Peruntukan ini mencerminkan tanda keprihatinan Kerajaan MADANI kepada mangsa bencana di Putra Heights. Bagi melicinkan proses pengagihan bantuan, semua sumbangan hendaklah disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor,” katanya.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa minggu lalu mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.