SUBANG JAYA, 9 APRIL: Sumbangan motosikal secara percuma kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights sedikit sebanyak meringankan beban mereka selepas kenderaan musnah dalam kejadian tersebut.
Penerima sumbangan, Zainuddin Abdul Halim, 60, meluahkan rasa syukur selepas menerima motosikal jenama Yamaha Ego Avantiz 125 sekali gus memudahkan urusan harian sebagai ketua keluarga.
[caption id="attachment_695792" align="alignleft" width="387"] Zainuddin Abdul Halim.[/caption]
“Saya bersyukur kepada Allah atas sumbangan motosikal yang diberikan secara percuma ini dapat memudahkan pergerakan saya.
“Sejak kejadian itu, urusan saya dan keluarga amat sukar kerana empat kereta, tiga motosikal serta rumah yang hangus terbakar," katanya.
Bagi Mohd Hanafi Mohd Ghazali, 36, sumbangan motosikal itu amat melegakan kerana memudahkan beliau untuk berulang- alik ke tempat kerja di Denai Alam yang mengambil masa kira-kira 40 minit.
[caption id="attachment_695793" align="alignright" width="390"] Mohd Hanafi Mohd Ghazali.[/caption]
“Alhamdulillah, saya tidak perlu memikirkan bagaimana untuk membeli motosikal kerana telah menerima sumbangan ini.
“Selain memudahkan urusan saya untuk pergi ke tempat kerja, motosikal ini juga akan digunakan untuk menghantar anak-anak saya ke sekolah”, tambahnya.
Sementara itu, Nurul Balqis Najwa Jasni, 21, berkata sumbangan itu memudahkan urusan membantu ibu bapanya memandangkan beliau sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajian di universiti.
[caption id="attachment_695794" align="alignleft" width="359"] Nurul Balqis Najwa Jasni[/caption]
“Saya dan keluarga sangat bersyukur dengan bantuan diberikan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami yang kehilangan tiga motosikal dalam insiden tersebut," jelasnya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyerahkan 55 motosikal jenama Yamaha Ego Avantiz 125 kepada penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang turut terkesan dengan insiden kebakaran saluran paip gas.
Beliau berkata sumbangan berdasarkan saringan yang dilakukan bagi memastikan motosikal asal mangsa rosak atau musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan.
Pembelian motosikal itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan syarikat korporat Spanco yang menawarkan harga istimewa sebanyak RM5,000 seunit berbanding harga pasaran sekitar RM5,800.