ad
ADN

DUN Seri Serdang batal majlis Aidilfitri, belanja hampir RM30,000 bantu mangsa kebakaran gas

9 Apr 2025, 12:13 AM
DUN Seri Serdang batal majlis Aidilfitri, belanja hampir RM30,000 bantu mangsa kebakaran gas
DUN Seri Serdang batal majlis Aidilfitri, belanja hampir RM30,000 bantu mangsa kebakaran gas

SHAH ALAM, 9 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang membelanjakan hampir RM30,000 untuk pelbagai bantuan kepada mangsa kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

Wakil rakyatnya Abbas Azmi berkata bantuan segera seperti pakaian, ubat-ubatan dan wang tunai telah  disalurkan pada hari pertama kejadian diikuti pelbagai sumbangan susulan pada hari berikutnya.

“Pada hari pertama kejadian bantuan masih belum banyak tiba, jadi kita salurkan bantuan awal dulu untuk beli pelbagai barangan keperluan mendesak termasuklah pakaian, ubat-ubatan dan air mineral.

“Alhamdulillah, kini pelbagai agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa terlibat,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan Kampung Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru yang terletak dalam kawasan DUN berkenaan antara terjejas teruk dalam insiden itu, melibatkan lebih 130 mangsa.

“Pusat khidmat kami akan pastikan semua mangsa tidak tercicir menerima bantuan yang diumumkan sama ada oleh pusat atau negeri,” katanya.

[caption id="attachment_695721" align="aligncenter" width="653"] Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Azmi.[/caption]

Dalam pada itu, katanya Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 bagi DUN Seri Serdang turut dibatalkan sebagai tanda solidariti terhadap mangsa tragedi itu.

“Saya percaya dalam saat rakyat sedang bersedih dan berduka, adalah lebih wajar kita memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha bantuan dan pemulihan,” katanya.

Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi 1 April itu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70×80 kaki.

Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.