ad
AGENDA

Rumah jadi debu, kereta 'cair' antara dugaan mangsa kebakaran Putra Heights

8 Apr 2025, 1:31 PM
Rumah jadi debu, kereta 'cair' antara dugaan mangsa kebakaran Putra Heights
Rumah jadi debu, kereta 'cair' antara dugaan mangsa kebakaran Putra Heights
Rumah jadi debu, kereta 'cair' antara dugaan mangsa kebakaran Putra Heights

SUBANG JAYA, 8 APRIL: Luluh hati seorang penduduk Kampung Kuala Sungai Baru Zurina Mohd Isa, 49, apabila melihat rumahnya sudah jadi debu, kereta 'cair' dan motosikal hanya tinggal rangka.

Beliau yang juga salah seorang mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini bertekad membina semula kehidupan selepas kejadian menyayat hati itu.

"Kakak kuatkan semangat selepas melihat rumah sudah jadi debu. Kereta jadi 'cair' dan motor sudah jadi rangka,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Masjid Putra Heights di sini, hari ini.

Zurina turut meluahkan rasa syukur atas bantuan RM10,000 daripada kerajaan persekutuan dan Petronas semalam dan tumpuan utamanya sekeluarga mencari kediaman baharu serta urusan persekolahan anak-anak.

[caption id="attachment_695757" align="alignleft" width="435"] Zurina Mohd Isa, 49, mangsa kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 8 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Saya sudah cari rumah sewa sebagai langkah awal jika penempatan ditawar Kerajaan Negeri jauh dari sini. Ketika kejadian, saya berada di kampung, bagasi yang dibawa itulah harta yang tinggal.

“Sebab lokasi tempat bekerja dan sekolah anak-anak semua di kawasan ini, kakak duduk di sini sudah 23 tahun.

“Alhamdulillah dengan duit bantuan ini, memandangkan kami tidak mempunyai sebarang aset lagi,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Koh Eng Tiong, 56, berpandangan bantuan tunai itu meringankan beban mereka untuk jangka masa pendek.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni itu berkata beliau mahu menggunakan bantuan tunai itu untuk keperluan asas termasuk membeli telefon bimbit yang musnah akibat kebakaran itu.

“Permohonan sudah dibuat dan saya kini dalam proses fasa menunggu. Petronas telah menghubungi saya duit akan disalur dalam masa terdekat.

“Saya berterima kasih atas bantuan murni pihak kerajaan dan Petronas, namun ia untuk jangka pendek. Senua mangsa menunggu bantuan jangka panjang,” ujarnya.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

[caption id="attachment_695758" align="aligncenter" width="1274"] Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu mangsa kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 8 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.