ad
AGENDA

Polis nafi dakwaan sorok kematian, siasatan telus, liputi pelbagai aspek

8 Apr 2025, 1:12 PM
Polis nafi dakwaan sorok kematian, siasatan telus, liputi pelbagai aspek
Polis nafi dakwaan sorok kematian, siasatan telus, liputi pelbagai aspek

SUBANG JAYA, 8 APRIL: Polis Selangor menegaskan dakwaan pihak berkuasa itu menyorokkan kematian membabitkan insiden letupan paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights tidak benar.

Ketuanya Dato' Hussein Omar Khan berkata tindakan menyorokkan kematian seperti didakwa itu tidak memberi sebarang manfaat kepada mana-mana pihak terutama agensi yang menjalankan siasatan secara telus.

“Dakwaan ini (kematian) tidak benar dan polis tidak pernah sorok sebarang kematian di Malaysia, tiada manfaat untuk berbuat demikian. Jika benar ada kematian, tampil ke balai buat laporan… jangan buat tuduhan tidak berasas dan merisaukan orang ramai.

“Agensi lain termasuk polis sangat telus, buat dokumentasi secara individu termasuk buat laporan dan pemeriksaan.

[caption id="attachment_695697" align="aligncenter" width="1077"] Ketua Polis Selangor, Dato' Hussein Omar Khan pada sidang media kebakaran saluran paip gas di Pos Kawalan Tempat Kejadian, Putra Heights pada 8 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Kita tidak melindungi sesiapa dan polis siasat dari pelbagai sudut termasuk faktor mekanikal, alam sekitar, operasi, keselamatan dan pemantauan,” katanya hari ini.

Terdahulu, bercakap pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian, Putra Heights, Hussein memaklumkan pihaknya menerima 675 laporan polis dan merakam 186 percakapan saksi termasuk pengawal keselamatan.

Dalam pada itu, Hussein menjelaskan siasatan dilakukan agensi berkaitan melihat pelbagai cabang bagi melihat sebarang kemungkinan berhubung insiden berkenaan.

“Contohnya faktor mekanikal kita lihat sebab keruntuhan struktur, hakisan dan kerosakan oleh aktiviti manusia manakala alam sekitar pula berhubung hakisan bawah tanah, pergerakan air dan lain-lain.

“Manakala, faktor operasi pula melihat tekanan berlebihan daripada peralatan tidak diselenggara dan seterusnya keselamatan serta pemantauan sistem pengesanan kebocoran.

“Siasatan melihat semua cabang dan tidak nampak ada mana-mana pihak cuba sembunyi sebarang penemuan di kawasan kejadian. Perkembangan terkini kita berikan dari semasa ke semasa oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan saya selaku komander pengurusan bencana,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau menempatkan 120 anggota yang berkawal 24 jam hanya untuk keselamatan di kawasan kejadian iaitu di dua lokaliti di setiap pintu masuk dan persimpangan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.