SHAH ALAM, 8 APRIL: Lebih 20,000 pelanggan dianggar menerima manfaat penganjuran Jualan Mega Ehsan Aidilfitri kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang berlangsung di 12 lokasi pada minggu terakhir Ramadan.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan PKPS berkata program dari 26 hingga 28 Mac itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar sebaliknya turut dianjur di luar bandar antaranya Sabak, Semenyih dan Tanjung Sepat.
“Kita dapati kira-kira 90 peratus barangan yang dikhaskan untuk jualan mega ini terjual. Di setiap lokasi, ramai pelanggan datang, ayam, daging, telur dan beras mendapat permintaan tinggi.
“Hampir semua pelanggan memanfaatkan program ini dalam mendapatkan keperluan raya memandangkan harga ditawar lebih murah dari pasaran,” kata Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohd Razi kepada Media Selangor.
Terdahulu beliau memaklumkan jualan menjelang perayaan itu mencatatkan nilai jualan melebihi RM434,000 dengan anggaran tanggungan subsidi Kerajaan Negeri RM120,000.
Sepanjang tiga hari berkenaan, jualan bermula 9 pagi itu memberi peluang kepada pelanggan membeli ayam seekor (RM12), daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak dua kg (RM10) dan beras lima kg (RM13).
Inisiatif jualan murah itu turut menawarkan produk baharu iaitu tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).
Selain PKPS, jualan mega berkenaan turut dianjur KoHijrah Selangor dan Lembaga Pemasaran Pertanian Selangor di beberapa lokasi lain bagi memudahkan orang ramai mendapat keperluan raya pada harga murah.
[caption id="attachment_693385" align="aligncenter" width="1084"] Pengunjung membeli barangan murah di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega Aidilfitri dekat Tapak Parkir Econsave Sg Buloh pada 26 Mac 2025. Foto Facebook PKPS[/caption]