ad
AGENSI

Pendaftaran Sidang Wanita Selangor dibuka, perluas kepada wanita negeri lain

8 Apr 2025, 11:36 AM
Pendaftaran Sidang Wanita Selangor dibuka, perluas kepada wanita negeri lain

SHAH ALAM, 8 APR: Pendaftaran Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025 bagi mengasah dan mencungkil bakat kepimpinan wanita terutama di peringkat pembuat keputusan dibuka sejak semalam hingga 30 April ini.

Wanita Berdaya Selangor (WBS) menerusi Facebook memaklumkan tahun ini, program simulasi sidang Dewan Negeri Selangor itu diberi kelainan dengan memperluas penyertaan kepada wanita di luar Selangor.

Menurutnya, platform itu bertujuan melahirkan pemimpin wanita berkualiti tinggi, memahami isu serta dasar selain menguasai tadbir urus yang baik demi mencapai kesaksamaan gender terutama di peringkat pembuat keputusan dan dasar.

“Rasai pengalaman berdiskusi dan berbahas pelbagai isu yang bukan saja memberikan manfaat kepada wanita malah seluruh institusi bagi mencapai kesaksamaan gender dan mempersiapkan diri sebagai pemimpin masa depan.

“Jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada perubahan besar di Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Agensi itu memaklumkan pendaftaran boleh dibuat di pautan https://docs.google.com/forms/d/e 1FAIpQLSeBqsR9x7xFrnfgdLMh4w_AJKPzvCsDqZWwiPRHclek_VuI3A/viewform?usp=sharing atau imbas kod QR di poster.

“Tujuh fokus isu SIWANIS 2025 adalah pemerkasaan wanita dan gender, inklusiviti dan kebolehcapaian serta pekerjaan dan kos sara hidup.

“Isu lain adalah undang-undang dan keadilan sosial, demokrasi dan reformasi institusi, alam sekitar dan perubahan iklim serta ekonomi penjagaan,” katanya.

Antara syarat penyertaan termasuk warganegara Malaysia berumur 18 hingga 45 tahun, fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta bukan alumni SIWANIS 2023 dan 2024.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.