SUBANG JAYA, 8 APRIL: Sejumlah 270 pemilik rumah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini selepas disahkan selamat oleh agensi berkaitan, kata ketua polis Selangor.
Dato' Hussein Omar Khan berkata jumlah itu mencatat penambahan berbanding semalam sejumlah 151 kediaman seperti dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Daripada 437 kediaman terlibat, 270 boleh diduduki dan perlu membuat pembaikan kecil selepas diperiksa beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kerja Raya.
“Berdasarkan maklumat bomba, 270 kediaman itu, 165 di Taman Harmoni manakala 105 di Kampung Kuala Sungai Baru.
“Manakala, bagi kenderaan pula daripada 571 kenderaan, 88 mengalami kerosakan melebihi 50 peratus, 332 bawah 50 peratus dan 151 tidak terjejas. Semua ini dalam kedudukan radius 325 meter yang diperiksa bomba,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian, Putra Heights, hari ini.
Semalam, Amirudin pada sidang media di Dewan Annex memaklumkan hasil penilaian pasukan teknikal bomba, 437 rumah dikenal pasti terkesan akibat insiden berkenaan melibatkan kategori musnah sepenuhnya, separa musnah dan terkesan.
Amirudin berkata 151 rumah disahkan selamat dan pemilik dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Susulan itu, 81 pemilik rumah yang musnah akibat insiden letupan gas minggu lalu menerima sumbangan segera RM10,000 yang disalur kerajaan persekutuan sebanyak RM5,000 dan separuh lagi sumbangan Petronas.