Oleh AIDA NYAN
SUBANG JAYA, 8 APRIL: Mangsa terjejas di Kampung Kuala Sungai Baru menzahirkan rasa syukur atas bantuan menyeluruh yang diterima daripada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian.
Bagi mangsa kebakaran saluran paip gas Putra Heights, bantuan pelbagai pihak jelas menjadi penyelamat, bukan sahaja daripada segi fizikal, malah emosi - memberi keyakinan bahawa mereka tidak bersendirian mengharungi ujian itu.
Muhammad Akmal Hassan, 21, berkata bantuan yang diterima membuatkan beliau dan keluarganya tidak pernah berasa tersisih sepanjang tempoh sukar itu.
“Kalau ada yang kata tersisih, mungkin mereka lambat terima maklumat atau tak tahu saluran sebenar untuk mohon bantuan. Asalkan berdaftar secara sah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Insya-Allah semua akan dapat bantuan. JKM ambil maklumat setiap mangsa, jadi tak timbul isu terlepas pandang,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, semalam.
Mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) itu turut menerima sumbangan RM2,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dan pakaian sekolah untuk adiknya.
[caption id="attachment_695688" align="alignleft" width="348"] Ramlah Harun[/caption]
“Bantuan ini sangat membantu kami teruskan kehidupan selepas musibah. Bukan saja dari segi wang, malah bantuan rumah dan kenderaan juga memudahkan pergerakan kami,” tambahnya.
Bagi Ramlah Harun, 60, bantuan makanan dan barangan keperluan yang diterima sejak hari pertama kejadian dianggap luar biasa.
“Makanan terlalu mewah. Dari hari pertama, ramai pihak datang bantu termasuk pasukan perubatan yang datang bertanya khabar,” ujar ibu kepada sebelas anak yang mencari rezeki dengan menjual kuih.
Seorang lagi mangsa, Ahmad Daniel, 25, pula berkongsi pengalaman menyelamatkan diri hanya dengan pakaian di badan ketika kebakaran berlaku.
[caption id="attachment_695689" align="alignright" width="346"] Ahmad Daniel[/caption]
“Dua rumah, dua motor habis rosak. Kami keluar rumah sehelai sepinggang. Jadi bila ada bantuan datang, memang lega sangat.
“Kami bersyukur dan berterima kasih atas semua bantuan yang diterima termasuk sumbangan sekitar RM3,000 daripada Yang di-Pertuan Agong dan Tan Sri Vincent Tan,” kata peniaga makanan itu.
Kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu mengakibatkan 146 manhsa terjejas, 219 rumah mengalami kerosakan manakala 220 rumah lagi diisytiharkan selamat.
Pelbagai pihak turun padang menghulurkan bantuan termasuk agensi kerajaan, kerajaan negeri, agensi swasta, pihak berkuasa tempatan, sukarelawan, NGO serta orang perseorangan.
Antara sumbangan terkini adalah pembelian mainan dan peralatan intervensi buat anak-anak orang kurang upaya dari Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) serta sumbangan lebih 200 kereta dari Tan Chong Group serta wang tunai RM500 dari Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) bagi pembelian keperluan sekolah.