Oleh AIDA NYAN
SUBANG JAYA, 8 APRIL: Pelbagai jabatan dan agensi membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights yang berdepan masalah termasuk pelepasan kerja, susulan kejadian yang mengakibatkan penutupan premis serta kehilangan dokumen penting.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor Azmir Kassim berkata, langkah itu sebahagian daripada pendekatan bersepadu JKM dalam menangani keperluan pelbagai aspek melibatkan mangsa terjejas.
"Sebelum ini mangsa mengadu dokumen hilang, sukar buat laporan polis jadi kami minta bantuan pelbagai agensi, jabatan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), syarikat insurans, balai polis bergerak serta agensi lain membantu mangsa.
"Tindakan ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh JKM dalam memberi sokongan bukan sahaja dari sudut kebajikan fizikal tetapi juga dari segi pemulihan ekonomi dan emosi mangsa," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Masjid Putra Heights, semalam.
Dalam pada itu, Azmir berkata bilangan mangsa di PPS akan berkurangan berikutan mereka diberi pelepasan untuk pulang ke rumah masing-masing.
Katanya, JKM turut mengambil langkah terancang dalam penyaluran dan penjadualan bantuan bagi pengurusan yang lebih teratur.
“Kami tidak mahu berlaku pembaziran atau lambakan bantuan dan sukarelawan," katanya yang berharap bantuan itu dapat mengurangkan tekanan serta bebanan mangsa.
[caption id="attachment_695632" align="aligncenter" width="1143"] Mangsa kebakaran letupan saluran paip gas Muhammad Akmal Hassan, 21, (kanan) melecur di kaki kiri bersama adiknya Muhammad Aqil. 17, (tengah) dan sepupu mereka Muhammad Afiq Afif Muhammad Syamsul Ridzal, 13, ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 7 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]