SHAH ALAM, 8 APRIL: Jualan Mega Ehsan Aidilfitri kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dianjurkan tiga hari pada minggu terakhir Ramadan mencatatkan nilai jualan melebihi RM434,000.
Ketua pegawai eksekutif kumpulannya Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohd Razi berkata jualan di 12 lokasi itu turut melibatkan anggaran subsidi RM120,000 dikeluarkan Kerajaan Negeri.
“Jualan berlangsung dari 26 hingga 28 Mac. Hari pertama mencatatkan transaksi jualan RM156,553 manakala hari kedua lebih RM130,000 dan hari terakhir lebih RM149,000.
[caption id="attachment_577156" align="alignleft" width="392"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi ditemui di Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 Daerah Gombak di Dataran Niaga Siantan, Gombak pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI[/caption]
“Semua lokasi diserbu pelanggan. Kebanyakan mereka membeli keperluan menyambut raya seperti ayam, telur, daging dan beras,” katanya kepada Media Selangor.
Sejak beberapa tahun lalu, setiap kali musim perayaan Kerajaan Selangor memperkenal inisiatif jualan mega musim perayaan yang menawarkan harga lebih rendah berbanding pasaran luar.
Sepanjang tiga hari berkenaan, jualan bermula 9 pagi itu memberi peluang kepada pelanggan membeli ayam seekor (RM12), daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak dua kg (RM10) dan beras lima kg (RM13).
Inisiatif jualan murah itu turut menawarkan produk baharu iaitu tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).
Selain PKPS, jualan mega berkenaan turut dianjur KoHijrah Selangor dan Lembaga Pemasaran Pertanian Selangor di beberapa lokasi lain bagi memudahkan orang ramai mendapat keperluan raya pada harga murah.
[caption id="attachment_693511" align="aligncenter" width="1098"] Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun pelbagai barangan sempena Jualan Ehsan Rahmah Aidilfitri di Medan Selera MBSA Seksyen 7, Shah Alam pada 27 Mac 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]