ad
AGENDA

Terima rekod Asia tidak diiktiraf, penembak wanita sasar emas di Bangkok

7 Apr 2025, 7:23 AM
Terima rekod Asia tidak diiktiraf, penembak wanita sasar emas di Bangkok

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Penembak berpengalaman negara Alia Sazana Azahari tidak terkilan selepas rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita yang beliau cipta pada Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok, Februari lepas tidak diiktiraf sebagai rekod dunia.

Atlet berusia 33 tahun itu berkata keputusan Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) tidak mengiktiraf rekod tersebut, diterimanya dengan hati terbuka memandangkan kejohanan tersebut tidak disertai penembak profesional dari seluruh dunia.

“Ia dijustifikasikan kerana kita di Piala Asia yang hanya atlet Asia bertanding, jadi sebagai rekod dunia tidak sah kerana kita tidak bertanding dengan wakil negara lain di dunia.

“Saya terimanya dan faham akan perkara itu dengan baik, tetapi Alhamdulillah negara Asia memperakui rekod itu,” katanya ditemui baru-baru ini.

Sebelum ini, Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Mejar (B) Jasni Shaari berkata persatuan tidak akan membuat sebarang rayuan kepada ISSF, untuk mengiktiraf rekod berkenaan sebagai rekod dunia.

Alia Sazana memecahkan rekod Asia sekali gus membawa pulang pingat emas dalam acara 25m pistol wanita pada kejohanan tersebut Lapang Sasar Menembak SAT.

Beliau membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 target, sekali gus memadamkan rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta penembak Korea Selatan Yang Jiin pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Alia Sazana dalam masa sama menyifatkan pengalaman diraihnya pada kejohanan tersebut merupakan kenangan cukup bermakna sejak mewakili skuad kebangsaan 13 tahun lepas dan kini mengalihkan fokus bagi membidik emas Sukan SEA 2025 di Bangkok, Disember tahun ini.

“Ia bukan mengenai pingat atau rekod, tentunya ia pencapaian terbaik yang saya pernah capai dalam hidup saya, dan ia mengenai keadaan saya di sana ketika final iaitu suatu yang saya tidak pernah jangka untuk berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.