KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Impak langsung tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), yang berkuat kuasa pada 9 April terhadap sektor pembinaan dijangka minimum, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu berkata sektor pembinaan pada asasnya adalah industri yang berfokus kepada pasaran domestik, dan tidak seperti sektor-sektor pengguna lain seperti automotif atau elektronik, ia tidak bergantung kepada eksport untuk memperoleh hasil.
Oleh itu, ia kurang terkesan akibat kejutan perdagangan, kecuali untuk potensi tekanan kos.
"Pelaksanaan tarif mungkin memberi kesan tidak langsung kepada sektor ini melalui inflasi input, terutamanya jika harga keluli atau simen global meningkat akibat gangguan rantaian bekalan.
"Namun, kebanyakan syarikat di bawah liputan kami, iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd, WCT Holdings Bhd, Malayan Cement Bhd, Cahya Mata Sarawak Bhd, Gamuda Bhd dan Sunway Construction Group Bhd (SunCon), tidak mempunyai pendedahan pendapatan secara langsung kepada pasaran AS," katanya dalam nota Laporan Sektor Pembinaan hari ini.
MIDF berkata IJM Corporation Bhd mempunyai sedikit pendedahan dalam bentuk eksport produk konkrit industri ke AS, tetapi ia terhad dan dijangka tidak memberi kesan material kepada prospek syarikat tersebut.
Bahkan, dalam kes-kes seperti projek pusat data SunCon untuk pelanggan berskala tinggi yang berpusat di AS, kerja pembinaan dilakukan secara tempatan di Malaysia untuk infrastruktur domestik, bermakna ia terkeluar dari skop tarif AS.
"Secara keseluruhannya, walaupun beberapa kesan tidak langsung mungkin timbul melalui harga bahan mentah, sektor pembinaan secara umum tetap dilindungi dengan baik dari implikasi segera tindakan tarif AS-Malaysia," katanya.
Sementara itu, MIDF berkata ia kekal postif terhadap sektor pembinaan yang disokong oleh persekitaran kos yang menguntungkan dan momentum projek yang stabil.
Harga bar keluli terus menurun untuk bulan keempat berturut-turut di tengah-tengah lebihan bekalan global, manakala harga simen kekal stabil kerana pengeluaran domestik yang terkawal dan kawalan kos bahan mentah.
Dinamik ini membantu mengurangkan tekanan margin bagi kontraktor.
"Meskipun perkembangan geopolitik terkini seperti tarif Hari Pembebasan telah menyebabkan ketidaktentuan, kami melihat kesannya terhad kepada sektor ini memandangkan fokus domestiknya dan pendedahan rendah terhadap pasaran AS.
"Selain itu, input utama kekal pada harga yang munasabah, dan asas sektor disokong oleh aliran pekerjaan yang sihat, projek-projek industri dan infrastruktur yang kukuh, serta permintaan pusat data yang berterusan," kata MIDF.
Sehingga Februari 2025, harga purata bulanan bagi bahan pengikat kekal tidak berubah untuk bulan ke-19 berturut-turut sejak Julai 2023, kekal stabil pada RM380 setiap tan.
Kestabilan harga yang berterusan ini dikaitkan dengan dinamik penawaran-permintaan yang seimbang di pasaran dan kos bahan mentah yang konsisten, yang membawa kepada penurunan tekanan kos yang membantu mengekalkan harga.
- BERNAMA