Oleh Aida Nyan
SUBANG JAYA, 7 APRIL: Seorang mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights di sini mengakui masih trauma dengan kejadian berkenaan.
Jun Choung, 29, yang menetap 12 tahun di kawasan itu berkata dia hanya menyedari kejadian itu ketika membuka tingkap bilik selepas bangun tidur.
Beliau yang bekerja sebagai jurutera berkata dia sangat terkejut melihat api besar menjulang tinggi dengan bahang yang terlalu panas masuk melalui tingkap.
[caption id="attachment_695405" align="aligncenter" width="760"] Jun Choung, 29,[/caption]
"Sebaik buka tingkap, saya nampak cahaya sangat terang, cahaya jingga yang pelik. Saya fikir ada yang tak kena dengan matahari atau mungkin kapal terbang terhempas.
"Saya dan ibu panik ketika itu, semuanya berlaku secara tiba-tiba," katanya sambil menambah mereka juga ketakutan kerana lantai rumah bergegar susulan kebakaran besar berkenaan.
"Gegaran itu sangat kuat dan menakutkan. Saya jerit panggil mak dan angkut anjing saya masuk dalam kereta lalu kami terus pandu sampai ke hujung jalan.
“Kami tinggalkan kereta dan lari masuk hutan kecil menuju ke lebuh raya untuk selamatkan diri dari bahang api,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Pos Kawalan Tempat Kejadian Putra Heights di sini pada kelmarin.
[caption id="attachment_695267" align="aligncenter" width="814"] Keadaan kesan tragedi kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya pada 6 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Choung berkata kediamannya rosak 20 peratus membabitkan tingkap dan bumbung, namun bersyukur beliau dan ibunya selamat dalam tragedi itu.
"Rumah kami agak jauh dari api tapi tetap rosak di bahagian tingkap dan bumbung. Lebih kurang dalam 20 peratus rosak.
"Tapi jiran-jiran di belakang kami, yang rumahnya lebih dekat dengan api, kediaman mereka rosak teruk dan alami kerugian yang sangat besar," katanya.
Jun Choung turut menyatakan kebimbangan terhadap keadaan siling rumah mereka yang mungkin akan lebih rosak susulan cuaca hujan lebat yang melanda akhir-akhir ini.
[caption id="attachment_694949" align="aligncenter" width="811"] Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor giat memadamkan api di kediaman penduduk yang terbabit dalam kebakaran saluran paip gas di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor pada 1 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]
Kebakaran saluran gas Petronas pada 1 April,mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius dan mengambil masa selama hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.
Setakat 6 April, sebanyak 87 kediaman disahkan mengalami kerosakan besar (lebih 20 peratus), 132 mengalami kerosakan kecil (kurang 20 peratus) manakala 220 unit lagi selamat atau tidak terjejas.
[caption id="attachment_694656" align="aligncenter" width="788"] Antara kenderaan yang mengalami kerosakan teruk ketika tinjauan di lokasi kejadian kebakaran paip gas Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya pada 3 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]