ad
BERITA UTAMA

Mangsa tragedi Putra Heights harapkan bantuan, sokongan bina semula hidup

7 Apr 2025, 2:38 AM
Mangsa tragedi Putra Heights harapkan bantuan, sokongan bina semula hidup
Mangsa tragedi Putra Heights harapkan bantuan, sokongan bina semula hidup
Mangsa tragedi Putra Heights harapkan bantuan, sokongan bina semula hidup
Mangsa tragedi Putra Heights harapkan bantuan, sokongan bina semula hidup
Mangsa tragedi Putra Heights harapkan bantuan, sokongan bina semula hidup

Oleh AIDA NYAN

SUBANG JAYA, 7 APRIL: Tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda malah turut mencederakan beberapa penduduk.

Meskipun pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan, mangsa masih menaruh harapan agar lebih banyak bantuan dan bentuk sokongan bagi membina semula kehidupan mereka yang terjejas.

[caption id="attachment_695369" align="alignleft" width="287"] Nor Azlina Ariffin[/caption]

Kakitangan di Kementerian Ekonomi, Nor Azlina Ariffin, 52, mengakui pihak terlibat melakukan kerja dengan baik namun menekankan pentingnya koordinasi yang lebih tersusun di lapangan.

"Saya percaya dalam waktu sukar seperti ini perlu ada koordinasi yang lebih tersusun.

"Kerajaan sedang menunaikan janji dengan penuh belas kasihan. Saya percaya lambat-laun kami akan terima semua bantuan yang telah dijanjikan," katanya.

Tambah Nor Azlina, mereka juga mengharapkan sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kebanyakan mangsa masih berada dalam keadaan trauma.

"Jiran-jiran kami yang baru keluar dari hospital masih dalam trauma dan ada beberapa orang tadi menangis. Saya harap sokongan bukan hanya kepada mereka di pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

[caption id="attachment_695370" align="alignright" width="333"] Jun Choung[/caption]

Jun Choung, 29, yang menetap di sana hampir 15 tahun pula menzahirkan keperluan segera penyelesaian praktikal untuk kerosakan yang boleh menyebabkan keadaan bertambah teruk.

"Saya harap mereka dapat rangka satu pelan yang kukuh supaya kami tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini," ujarnya.

Tambah Choung yang juga seorang jurutera di syarikat swasta, meskipun pelbagai bantuan dihulurkan sejak hari pertama kejadian, namun ia masih tidak mencukupi untuk membaiki kerosakan.

"Selain taman kami, kampung sebelah juga terjejas. Ada rumah yang musnah sepenuhnya jadi perlu pelan yang menyeluruh."

[caption id="attachment_695371" align="alignleft" width="354"] Shankar Robindran[/caption]

Sementara itu, Shankar Robindran, 45, pula menekankan bantuan yang diberikan tidak mencukupi untuk membaiki kerosakan.

"Kerugian yang perlu ditanggung lebih besar dari bantuan, insurans juga tidak cukup.

"Sekarang semuanya kelam-kabut. Saya perlukan rumah. Saya perlukan tempat untuk berteduh untuk anak-anak dan isteri saya," kata bapa kepada tiga anak.

Yoke Ling, 40, turut menyuarakan harapan agar nasib mereka terbela.

[caption id="attachment_695372" align="alignright" width="344"] Melvin[/caption]

"Kami harap ada penyelesaian dan pemulihan jangka pendek dan jangka panjang.

"Setiap agensi dan pihak bertanggungjawanbh perlu bergabung tenaga merancang penyelesaian yang berkesan untuk kami," katanya.

Seorang lagi mangsa, Melvin, 50, pula menggesa agar penduduk dibenarkan membawa kontraktor ke rumah masing-masing bagi tujuan pemeriksaan.

"Kerosakan yang kecil sekarang akan menjadi semakin besar dan bertambah buruk.

"Perkara paling kritikal sekarang ialah tutup bumbung dahulu. Kerosakan dalaman boleh dibaiki kemudian," katanya.

Video temu bual tekan di sini

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.