ad
AGENDA

Pelajar Putra Heights terjejas guna van transit ke 19 sekolah

7 Apr 2025, 12:19 AM
Pelajar Putra Heights terjejas guna van transit ke 19 sekolah
Pelajar Putra Heights terjejas guna van transit ke 19 sekolah
Pelajar Putra Heights terjejas guna van transit ke 19 sekolah

SUBANG JAYA, 7 APRIL: Seramai 76 pelajar dari dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Putra Heights menggunakan perkhidmatan transit atas permintaan (DRT) ke sekolah bermula hari ini.

Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Nur Mohd Razali Abdullah berkata jumlah itu melibatkan 42 murid sekolah rendah dan 34 pelajar sekolah menengah dari 19 sekolah.

Menurutnya, Yide menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menzahirkan keprihatinan terhadap nasib pelajar terkesan susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights minggu lalu.

“Bagi memastikan pelajar dapat meneruskan persekolahan tanpa gangguan, Yide dan rakan kolaborasi termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Prasarana Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik.

[caption id="attachment_695363" align="alignnone" width="809"] Pengangkutan Rapid KL On-Demand (ROD) percuma disediakan kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 7 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Secara keseluruhan 76 pelajar dikenal pasti, tetapi mengikut hari mungkin ada yang tidak hadir ke sekolah disebabkan masih trauma dan sebagainya.

“Pergerakan penghantaran dan pengambilan pelajar ini secara pecahannya melibatkan seramai 60 pelajar sesi pagi dan 16 pelajar sesi petang menerima manfaat ini,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini, hari ini.

Menurut Nur Mohd Razali lagi, perkhidmatan itu dijangka akan disediakan dalam dalam tempoh dua minggu bergantung kepada pengoperasian PPS.

“Kita jangka dua minggu, selagi PPS buka. Jadi pelajar boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk ke sekolah,” katanya.

[caption id="attachment_695364" align="alignnone" width="818"] Pelajar mangsa kebakaran saluran paip gas menaiki pengangkutan percuma Rapid KL On-Demand (ROD) ke sekolah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 7 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan pelajar terkesan akibat tragedi tersebut terpelihara, khususnya dalam aspek pendidikan dan kemudahan asas.

Antara ketetapan yang diperkenankan termasuk penyediaan bantuan kelengkapan persekolahan serta pengangkutan bagi pelajar yang kini ditempatkan sementara di dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, Putra Heights.

Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi 1 April lalu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70×80 kaki.

Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.