ad
BERITA UTAMA

Kebakaran paip gas: Kaunselor disediakan, kesihatan mental, fizikal mangsa dipantau

6 Apr 2025, 1:30 PM
Kebakaran paip gas: Kaunselor disediakan, kesihatan mental, fizikal mangsa dipantau
Kebakaran paip gas: Kaunselor disediakan, kesihatan mental, fizikal mangsa dipantau

SUBANG JAYA, 6 APRIL: Tahap kesihatan mental dan fizikal mangsa kebakaran yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan baik.

EXCO kesihatan awam berkata semua mangsa yang berlindung di PPS Masjid Putra Heights dan PPS Dewan Camelia dipantau rapi, malah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyediakan kaunselor untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada lagi masalah kesihatan lain direkodkan namun, cuma terdapat dua orang adik-beradik yang menghidap penyakit cacar air.

[caption id="attachment_695251" align="alignleft" width="391"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas menyantuni mangsa kebakaran paip gas di Dewan Camelia, Putra heights, Subang Jaya pada 6 April 2025.Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Pengasingan khemah telah dilaksanakan dan pemantauan rapi oleh pegawai perubatan sentiasa dilakukan bagi memastikan tahap kesihatan mangsa,” kata Jamaliah Jamaluddin.

Beliau ditemui selepas melawat mangsa kebakaran di PPS Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Camelia hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seramai 38 daripada keseluruhan 146 mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran di Subang Jaya pada Selasa lepas, masih menerima rawatan di hospital dan klinik.

Menerusi perkongsian data KKM, daripada jumlah itu, 18 mangsa dirawat di wad biasa hospital kerajaan manakala 20 mangsa lagi di kemudahan kesihatan swasta.

Dilaporkan terdapat 13 pesakit di Hospital Putrajaya, dua di Hospital Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Ampang.

KKM turut memaklumkan aktiviti Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua PPS iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, selain di Hospital Putrajaya (HPj) dengan 88 individu menerima intervensi MHPSS.

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.