OLEH ALIFF HAIQAL MOHAMED
SUBANG JAYA, 6 APRIL: Dampak kebakaran paip gas di Putra Heights mungkin dapat diminimumkan sekiranya benteng penampan haba dibina di kawasan kejadian, demikian pandangan seorang bekas juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Baharudin Yusof, 66 tahun, yang telah berkhidmat lebih 45 tahun sebagai juruteknik menjelaskan benteng tersebut dapat menghalang haba melampau yang menjadi punca utama kerosakan rumah penduduk.
"Sekurang-kurangnya, kerajaan perlu memastikan kawasan seperti ini dilindungi dengan benteng penampan, seperti yang terdapat di lebuh raya untuk menyerap bunyi."
"Begitu juga dengan kawasan yang melibatkan saluran paip gas, kita boleh menghalang haba tersebut jika berlaku kebakaran," katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini, baru-baru ini.
Baharudin yang turut menjadi mangsa kejadian berkata semua pihak termasuk kerajaan mengambil iktibar dan melaksanakan langkah pencegahan yang lebih ketat bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
"Di mana-mana sahaja ada kemalangan dan risiko, tetapi jika kerja-kerja dijalankan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat, tiada masalah.".
“Pihak berkenaan perlu mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih tegas dan tidak bersikap sambil lewa. Pemantauan mesti dilakukan dengan lebih ketat," katanya lagi.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan ia mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan, namun masih boleh didiami setelah melalui proses pembaikan, manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami.
Jumaat lalu, polis mengesahkan bahawa kerja pengorekan tanah telah dijalankan berhampiran kawasan letupan paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini beberapa hari sebelum insiden itu berlaku.