ad
AGENDA

Polis: Laporan awal siasatan kebakaran saluran gas dikeluarkan 15 April

6 Apr 2025, 10:26 AM
Polis: Laporan awal siasatan kebakaran saluran gas dikeluarkan 15 April
Polis: Laporan awal siasatan kebakaran saluran gas dikeluarkan 15 April

SUBANG JAYA, 6 APRIL: Laporan awal siasatan kebakaran saluran gas di Putra Heights akan dikeluarkan pada 15 April ini, kata ketua polis Selangor.

Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan kini tertumpu ke arah punca utama kejadian letupan selain masih belum diklasifikasikan sebagai kes jenayah atau lain-lain.

“Kita sedang cari punca letupan dari semua sudut. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) cari dari aspek keselamatan dan kesihatan manakala agensi lain turut mainkan peranan masing-masing.

[caption id="attachment_695277" align="alignleft" width="500"] Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan bercakap kepada media pada Sidang media kebakaran saluran paip gas di Pos Kawalan Tempat Kejadian, Putra Heights pada 06 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Kita pun belum klasifikasikan ini sebagai kes apa. Laporan awal siasatan kita akan keluarkan pada 15 April ini,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Wan Razali Wan Ismail.

Dalam pada itu, Hussein berkata sebanyak 642 laporan polis diterima setakat hari ini, dan 118 saksi sudah dirakam percakapan termasuk 15 orang daripada pihak kontraktor.

Beliau menjelaskan, pihak polis tidak boleh mendedahkan nama syarikat kontraktor yang terlibat dengan siasatan berikutan terikat dengan prinsip keadilan.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya umum nama pihak kontraktor kerana kita tidak boleh tuduh sesiapa sehingga siasatan lengkap,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu melibatkan 1,254 mangsa daripada 308 keluarga dengan 87 rumah rosak sepenuhnya dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas namun boleh didiami.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.