SUBANG JAYA, 6 APRIL: Kerajaan Selangor menyediakan 10 van transit atas permintaan (DRT) bagi membantu pelajar dari dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Putra Heights ke sekolah, mulai esok.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata pihaknya mengenal pasti seramai 196 pelajar pelbagai peringkat usia yang bersekolah di 34 sekolah di kawasan tersebut.
“Inisiatif bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mengikuti sesi persekolahan yang akan bermula semula esok.
“Ia melibatkan pelajar di PPS Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia berikutan insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April lalu,” katanya ketika ditemui pemberita.
Ditemui di Masjid Putra Heights, Anfaal menambah Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan khidmat kaunseling buat kanak-kanak di PPS tersebut.
“Selain bantuan makanan dan pakaian, sokongan emosi turut diberikan dengan mengadakan aktiviti permainan berkonsep pendidikan buat kanak-kanak di sini.
“Ia penting untuk mereka yang trauma susulan insiden ini. Ada kanak-kanak yang saya temui berkongsi amat gembira dengan aktiviti di sini hingga tidak mahu balik, ini perkembangan baik di PPS,” ujarnya lagi.