ad
AGENDA

Kerja korek tidak ganggu paip gas, ada laporan main mercun sebelum kejadian

6 Apr 2025, 9:57 AM
Kerja korek tidak ganggu paip gas, ada laporan main mercun sebelum kejadian

SUBANG JAYA, 6 APRIL: Kerja penggantian paip kumbahan yang dilaksana di lokasi kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati paip gas berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan, dengan jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter.

“Kerja korekan dan pemasangan ini dilakukan sepanjang lebih kurang 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas ini adalah jalan yang diluluskan.

“Kerja galian ini dilakukan dan dipantau oleh pihak polis bersama Petronas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor dan pihak kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Wan Razali Wan Ismail.

Dalam pada itu, Hussein mengesahkan menerima laporan seorang saksi yang mendakwa melihat ada letupan mercun di lokasi kebakaran pada malam sebelum kejadian berkenaan berlaku.

Menurutnya, laporan berkenaan merupakan antara 642 laporan polis yang diterima setakat hari ini, selain tidak melihat mercun tersebut sebagai punca utama letupan saluran gas.

“Memang ada yang kata melihat orang bermain mercun pada malam 31 Mac itu tetapi polis tidak nampak ia sebagai punca. Kita tunggu siasatan penuh dan kita alu-alukan maklumat awam,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu melibatkan 1,254 mangsa daripada 308 keluarga dengan 87 rumah rosak sepenuhnya dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas namun boleh didiami.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.