SUBANG JAYA, 6 APRIL: “Ketika mahu keluar dari kediaman, letupan kedua meletus. Gegaran seperti gempa bumi dan bahang saya terus lari bawa empat keluarga lain masuk semula ke rumah untuk berlindung di tandas.”
Begitulah dilema seorang pengusaha bas, menceritakan detik cemas ketika kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di Subang Jaya, pada pagi Selasa lalu.
Bercakap kepada Media Selangor, Mohd Radzi Mohd Razif, 42, berkata ketika itu dia mahu lari menyelamatkan diri bersama ibunya yang berusia 70 tahun dari kediamannya di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong selepas letupan pertama.
Mohd Radzi memberitahu beliau tidak mempunyai pilihan terpaksa membawa ibunya yang turut terjatuh akibat letupan kedua masuk semula ke rumah berlindung dalam tandas.
“Saya sempat memaklumkan kepada rakan kampung berlindung bersama ibu, dua anak buah termasuk orang kurang upaya (OKU) dan adik ipar di tandas.
[caption id="attachment_695195" align="aligncenter" width="689"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kiri) bersama Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyantuni mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru pada 06 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Selepas sejam, pihak bomba tiba mendukung dan membawa emak ke ambulans. Kelima-lima kami dibawa ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari bersama Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Akmal Salleh menziarahi Mohd Radzi di kediaman sewanya di Kampung Kuala Sungai Baru di sini, pagi tadi.
Mohd Radzi menambah beliau mengalami kelecuran di kepala, tangan, kaki selain ibunya cedera di muka serta kedua-dua tapak kaki.
“Anak buah saya dipindahkan ke Hospital Putrajaya untuk menjalani pembedahan tulang belakang. Namun, alhamdulillah seorang lagi anak buah yang OKU tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau memaklumkan rumah, kereta termasuk bas dan van sekolah perusahaannya musnah secara ‘total loss’ akibat kejadian itu.
“Ia termasuk dua lagi rumah adik yang tinggal berdekatan dari kediaman saya juga habis musnah.
“Kami sekeluarga juga menjalankan perniagaan khidmat sewa khemah juga habis rosak dan menanggung kerugian yang banyak,” katanya lagi.
Kebakaran melibatkan saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 8.10 pagi Selasa lepas, secara keseluruhannya melibatkan 1,254 orang daripada 308 keluarga.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan keseluruhan dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.