ad
AGENDA

Mangsa kebakaran Putra Heights harap pembelaan sewajarnya

6 Apr 2025, 5:12 AM
Mangsa kebakaran Putra Heights harap pembelaan sewajarnya
Mangsa kebakaran Putra Heights harap pembelaan sewajarnya

OLEH AIDA NYAN

PUTRA HEIGHTS, 5 APRIL: Seorang mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights merayu agar pihak berkenaan mempertimbangkan bantuan dan pembelaan sewajarnya berikutan kerugian harta benda yang dialaminya dalam kejadian yang berlaku pada 1 April lalu.

Yoke Ling, 40, yang telah menetap di kawasan berkenaan bersama keluarganya sejak hampir 15 tahun lalu, berkata kediaman yang terjejas itu merupakan satu-satunya tempat tinggal mereka.

“Kami tidak kaya, mana ada wang beli rumah baharu . Ini satu-satunya rumah kami, dan kami sudah selesa tinggal di sini sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui semasa menunggu proses pemeriksaan rumah yang mengalami kerosakan struktur di beberapa bahagian.

[caption id="attachment_695171" align="alignleft" width="454"] Yoke Ling, 40[/caption]

Menurutnya, selain kerosakan pada kediaman, sebuah kenderaan miliknya turut mengalami kemusnahan sepenuhnya akibat insiden tersebut.

“Kereta saya mengalami kerugian total. Jika saya mahu tuntut insurans, saya perlu menggunakan No Claim Discount (NCD) yang sudah lama saya kumpul, dan itu merugikan.

"Kami amat mengharapkan ada bantuan kewangan atau pampasan sewajarnya bagi meringankan beban,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini kenderaan tersebut masih belum dapat dibawa ke bengkel untuk pemeriksaan, dan beliau bimbang dengan tahap keselamatan sekiranya hanya dibaiki secara minimum.

Yoke Ling turut berharap agar suara mangsa yang terkesan tidak dipandang ringan dan diberi perhatian yang sewajarnya oleh semua pihak bertanggungjawab.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.